Wednesday, April 22, 2020

PENGENALAN

Dilema yang dihadapi oleh kebanyakan negara membangun termasuk Malaysia adalah apabila peningkatan dalam bilangan pelajar berpendidikan tinggi yang tidak dapat memenuhi keperluan pasaran pekerjaan. Ketidakselarasan dari penawaran dan permintaan dalam pasaran buruh siswazah telah menimbulkan banyak isu bukan sahaja dari segi peranan institusi pengajian tinggi dan program pengajian yang ditawarkan tetapi juga dari segi kualiti graduan yang dilahirkan. Pasaran buruh siswazah telah mengalami banyak perubahan dari segi permintaan terhadap tenaga kerja dan keperluan ekoran daripada perubahan teknologi yang semakin hebat dan peningkatan globalisasi.

Masalah pertama yang dihadapi oleh para siswazah ialah penggunaan bahasa Inggeris lemah.  Syarikat swasta majoritinya mahu pekerja mereka fasih berbahasa inggeris, tidak terkecuali syarikat yang dimiliki oleh orang melayu. Temuduga kerja juga kebanyakan dikendalikan dalam bahasa Inggeris.  Kurangnya penggunaan bahasa Inggeris dilihat menjadi punca pelajar kurang keyakinan diri untuk bercakap di khalayak ramai kerana bimbang ada kesalahan tatabahasa dan sebagainya.

Seterusnya, masalah lemah dalam berkomunikasi.  Graduan kurang keyakinan dalam berkomunikasi menyebabkan graduan gagal memperolehi pekerjaan. Majikan memerlukan mereka yang mahir berkomunikasi untuk memastikan segala tugasan yang diberikan difahami dan mendapat maklum balas yang baik. Sekiranya graduan tidak berupaya untuk berkomunikasi, sukar untuk majikan menawarkan pekerjaan. Tambahan pula, ketika sesi temu duga kriteria tersebut merupakan faktor utama yang dilihat dan diambil kira oleh majikan sebelum menawarkan pekerjaan.

Selain itu, tiada personaliti dan karakter yang meyakinkan.  Tingkah laku dan karakter diri graduan yang menarik akan menyerlahkan pesona dalam diri ini. Sesetengah graduan tidak mempunyai karaker yang disukai oleh majikan dan rakan sekerja.  Oleh itu, boleh mengabitkan kurang penonjolan diri terhadap majikan.  Dengan karakter yang menarik, pastinya graduan tidak akan menjadi penganggur tegar.  Majoriti majikan tertarik dengan personaliti pemohon ketika hadir ke sesi temu duga.  Justeru, bentuklah personaliti yang menarik bagi memudahkan anda untuk mendapat pekerjaan.


KEMAHIRAN BERBEZA YANG DICARI OLEH PARA GRADUAN MASA HADAPAN

  • KEMAHIRAN BERKOMUNIKASI



            Antara kemahiran generik yang dipandang tinggi oleh majikan adalah kemahiran komunikasi yang berkesan.  Tahap komunikasi ini diukur berdasarkan keupayaan seseorang itu menghuraikan hujah dengan penuh keyakinan serta memberikan buah fikiran yang mantap. Selain itu juga, tidak hanya satu bahasa yang diambil kira, malahan keupayaan untuk fasih berbahasa asing seperti Bahasa Inggeris amatlah perlu dititik.  Gerak geri badan serta bait-bait perkataan yang dituturkan akan mempengaruhi orang yang menerima mesej yang ingin disampaikan.  Interaksi yang diistilahkan sebagai secara lisan dan juga bukan lisan ini amatlah penting demi menjaga hubungan sesama rakan sekerja.  Elemen yang wujud dalam komunikasi gerak tubuh ini merupakan salah satu pelengkap supaya informasi yang disampaikan itu tepat dan jelas.  Majikan menganggap bahawa kemahiran berkomunikasi dengan baik adalah sangat penting dan kebanyakan majikan kurang berpuas hati dengan cara para graduan mempersembahkan diri mereka dengan berkesan.

  • KEMAHIRAN BEKERJA BERKUMPULAN



    Kemahiran insaniah seperti bekerja dalam kumpulan adalah sangat penting, malahan lebih penting dari kemahiran teras walaupun kemahiran menulis dan berkaitan nombor yang baik dianggap penting oleh hampir 70 peratus majikan pada masa kini.   Sikap individualistik atau berkepentingan peribadi haruslah dikikis sama sekali dalam usaha untuk memajukan potensi diri serta menunjukkan sikap positif dalam kalangan rakan sekerja.  Sejak dari bangku sekolah lagi pelajar telah didedahkan dengan semangat setia kawan serta sentiasa mementingkan kerja berpasukan agar sesuatu yang ingin dicapai itu tidaklah begitu sukar untuk dikecapi malah ianya menjadi salah satu tunggak utama untuk berjaya.  Belajar dari rakan sebaya menerusi perbincangan yang telus akan membuahkan hasil yang produktif. Segala akal buah fikiran akan diperhalusi dan difahami agar ianya mendapat persetujuan semua pihak. Kerja secara berpasukan ini juga mampu dilihat sebagai keupayaan untuk bekerja secara kumpulan dan mengasah bakat seseorang individu itu untuk menjadi seorang pemimpin yang adil.   Persaingan yang sihat sesama ahli kumpulan akan menjadi lebih mudah diselesaikan kerana perkongsian pendapat sesama ahli kumpulan dalam meringankan beban yang dikandung selama ini.
3.    
  •     KEMAHIRAN MEMANTAPKAN KECERDASAN EMOSI


            Kecerdasan emosi menyentuh tentang cara mewujudkan hubungan yang bermakna, berpandukan kualiti seperti menjadi pendengar yang aktif, ada sifat empati, memberi respons, dan yang paling penting, memiliki kesedaran diri.  Salah satu cabaran terbesar bagi sesebuah organisasi hari ini ialah kebanyakan pemohon kerja memiliki kemahiran yang relevan dengan syarikat  tetapi mereka kurang dari segi kemahiran ‘insaniah’, yang penting untuk membangunkan perkongsian kerja yang kukuh, sama ada dari segi dalaman dan luaran.  Dalam kekalutan menyiapkan kerja, golongan yang boleh berhubung atau mengaitkan diri dengan orang lain sangat bernilai untuk syarikat.

  •      KEMAHIRAN KEPIMPINAN

             Kemahiran kepimpinan merupakan kebolehan seseorang mempengaruhi orang yang di bawah seliaanya berubah kelakuan ke arah yang lebih positif dan memberangsangkan. Inilah yang dilihat antara faktor penolak sesebuah organisasi ke atas graduan dari aspek mampu menyelesaikan masalah dan bekerjasama di dalam kumpulan. Dunia pekerjaan yang semakin mencabar disebabkan oleh penekanan terhadap modal insan meletakkan kemahiran kepimpinan dalam situasi yang agak penting.  Graduan yang mempunyai ciri kepimpinan sekaligus mampu menyelesaikan masalah dan berkebolehan melakukan kerja dalam kumpulan. Ini kerana, dalam proses pemilihan pekerja, majikan memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kualiti intelektual yang tinggi serta mampu bekerjasama dalam menjalankan tugas. Bowles dan Gintid (2002), merumuskan bahawa ciri kemahiran dan tingkahlaku memainkan peranan yang penting dalam pasaran buruh.

  • KEMIHARAN MEMPUNYAI SIKAP POSITIF


            Kajian yang lain menunjukkan bahawa sikap yang positif merupakan ciri yang perlu dimiliki oleh graduan bagi memenuhi syarat dan keperluan pekerjaan. Kajian dari Azizah Yaacob,Hazita Azman,Norizan Abdul Razak, Sallehuddin Abdul Aziz & Wong Fook Fei ,2005 menyatakan sikap lazimnya diuji dalam sesi temuduga atau perbincangan bagi mengukur (gauge) sikap ,minat belia terhadap majikan serta isu semasa. Kajian ini melihat ramai graduan yang hadir untuk temuduga tidak membuat persiapan dengan melengkapkan diri dengan pengetahuan organisasi yang dipohon, pengetahuan am serta isu-isu lain.  Kebolehpasaran graduan merujuk kepada graduan yang berkebolehan dan sentiasa bersedia menunjukkan kemahiran, pengetahuan, sikap dan pemahaman mendalam terhadap bidang perniagaan yang membolehkan graduan menyumbang secara positif terhadap objektif organisasi apabila diambil bekerja. Kriteria personaliti di dalam amalan pemilihan pekerja meliputi aspek-aspek berfikir, sikap, proses pembuatan keputusan dan nilai yang ada dalam diri seseorang calon.



CADANGAN AGAR KEMAHIRAN DAPAT DIBERIKAN KEPADA PARA GRADUAN

  •     CADANGAN KEPADA BAKAL GRADUAN


            Bakal graduan perlu atau wajib menyertai aktiviti-aktiviti persatuan samaada di dalam, mahupun di luar kampus, dengan pihak universiti perlu memantau atau menghadkan penglibatan bakal graduan sekiranya terlibat dengan persatuan luar kampus. Penglibatan di dalam aktiviti persatuan ini kepada bakal graduan ialah, melaluinya, bakal graduan akan dapat meningkatkan keyakinan ketika berdepan dengan orang ramai, selain mengasah kemahiran berkomunikasi mereka dengan komuniti yang ada di dalam persatuan yang disertai. Dari aspek individual pula, penglibatan ini akan membantu bakal graduan memupuk semangat dalam kerja berpasukan. Malah, ianya merupakan pendedahan kepada bakal graduan sebelum memasuki alam kerjaya yang sebenar dalam perkongsian idea dan mengemukakan idea yang kritis untuk sesuatu maklumat sekiranya ingin menyelesaikan masalah. Dari itu, bakal graduan juga dapat menggunakan kesempatan tersebut untuk membiasakan diri dengan perkongsian idea dengan komuniti yang terlibat di dalam persatuan tersebut. Selain itu, bakal graduan juga dapat memupuk diri dengan sifat kepimpinan dalam diri mereka dengan menjadi pemimpin kepada rakan yang lain. Ini kerana, kemahiran-kemahiran tersebut, seperti kemahiran kerja berpasukan dan kemahiran kepimpinan merupakan aspek dan kriteria yang dicari oleh majikan.

  • CADANGAN KEPADA INSTITUSI-INSTITUSI PENDIDIKAN

            Pihak institusi perlulah memberi pendedahan awal aspek kerjaya kepada bakal graduan. Institusi-institusi pendidikan perlu mengambil kesempatan, agar memberi pendedahan kepada murid-murid sekolah khasnya tentang kerjaya yang ditawarkan kelak dengan mengikuti pengajian yang ditawarkan di universiti-universiti tempatan. Dengan adanya pendedahan ini kepada murid-murid sekolah, maka secara tidak langsung, ini akan dapat membantu mereka lebih bersedia sedari awal apakah bidang yang ingin diceburi kelak ketika menuntut di universiti. Mereka akan dapat mengumpul seberapa banyak keperluan yang penting, seperti kemahiran-kemahiran insaniah yang perlu dikuasai dan dimiliki sebelum melangkahkan kaki ke gerbang kerjaya kelak.  Pihak institusi-institusi pendidikan yang berkaitan juga perlu mengadakan program berkaitan dengan keusahawanan, kerana melalui program ini bakal-bakal graduan akan dapat mengaplikasikan kebolehan yang mereka ada untuk menghasilkan produk atau menjual produk. Dengan adanya lebih banyak lagi program keusahawanan ini, lebih banyak manfaat serta kemahiran insaniah yang dapat dipupuk serta dikuasai oleh bakal graduan.



KESIMPULAN

Dengan kerjasama semua pihak berkaitan, terutamanya dalam penganjuran pelbagai program, maka bakal graduan akan dapat mempersiapkan diri mereka melalui kemahiran insaniah yang menjadi keutamaan seperti penguasaan bahasa inggeris dengan baik di dalam kemahiran berkomunikasi. Sekiranya semua kemahiran insaniah itu dapat dimiliki oleh bakal graduan, maka statistik pengangguran dikalangan graduan akan berkurangan saban tahun, kerana keupayaan graduan kelahiran universiti-universiti tempatan yang mampu bersaing serta setanding dengan graduan universiti luar.  Justeru itu, graduan harus mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran tambahan agar mereka boleh bersaing di pasaran pekerjaan yang sangat kompetatif. Mereka juga harus sedar bahawa pencapaian akademik semata-mata tidak lagi menjamin mereka untuk mendapat jawatan yang setaraf dengan kelulusan yang mereka peroleh.

PENGENALAN Dilema yang dihadapi oleh kebanyakan negara membangun termasuk Malaysia adalah apabila peningkatan dalam bilangan pelajar be...